BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, February 12, 2010

jgn kerana taksub tergadai negara

Kemajuan dalam bidang IT seharusnya memberikan banyak impak positif terhadap pembangunan sesebuah negara,namun disebalik kebaikan yang dibawa terselit juga beberapa perkara negatif yang mungkin boleh merobohkan jati diri generasi muda di Malaysia. Kemajuan teknologi ini sepatutnya menyumbang kepada kemajuan negara dan bukan kepada kemunduran pemikiran bangsa Malaysia.

Semakin ramai pengguna internet di Malaysia yang telah menyalahgunakan hak kebebasan bersuara selain mengabaikan etiket penggunaan internet. Lihat saja betapa lancangnya penulis blog, Aduka Taruna dengan begitu biadap menghina Almarhum Sultan Johor yang juga telah menimbulkan kemarahan banyak pihak baru-baru ini. Kini terdapat pula individu yang berani memberikan ugutan bunuh terhadap Saiful Bukhari Azlan melalui laman sosial facebook,ekoran kes mahkamah yang melibatkannya dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Perkara sebegini tidak seharusnya berlaku dalam sebuah masyarakat Islam yang bertamadun. Namun penulis yang hanya dikenali dengan nama Anaz Zahari itu ternyata hanyalah seorang pengecut, jika dia memperjuangkan sesuatu yang benar mengapa dihapuskan pula akaun laman sosial tersebut? Teruskanlah memperjuangkan pendiriannya jika sememangnya ia benar.

Tidak cukup dengan itu, terdapat banyak lagi blog-blog yang dicipta semata-mata untuk mempromosikan bahan-bahan lucah yang hanya akan menghancurkan moral masyarakat Malaysia. Perbuatan seperti ini tidak mendatangkan kebaikan kepada mana-mana pihak bahkan mungkin akan mengganggu gugat keharmonian bumi tercinta yang sedang kita kecapi kini. Sesungguhnya kita harus sedar biarpun kita berada berada dalam sebuah negara demokratik, namun tolak ansur juga ada batasnya, jangankan kerana taksub dan obsesi, tergadai keamanan yang telah diraih hasil keringat pemimpin-pemimpin negara terdahulu. Adakah kita sanggup untuk melalui zaman penjajahan dan darurat serta pentadbiran autokrat yang menindas rakyat seperti yang pernah dilalui nenek moyang kita dahulu? Kita seharusnya bersatu bagi memastikan apa yang kita ada sekarang kekal berada digenggaman dan tidak direbut oleh pihak ketiga yang suka mengambil kesempatan di atas kecuaian diri kita sendiri.

Buat semua pembaca yang bijaksana, marilah kita semua bersama renungkan bait-bait lirik lagu warisan(anak kecil main api), semoga boleh kita jadikan pedoman dalam meneruskan kehidupan kita. Jangan sampai terhantuk baru nak terngadah, jangan sampai kita menyesal di kemudian hari.

0 comments: