BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, February 27, 2010

Dunia semakin kejam

Saya berasa sungguh kesal dan terkilan membaca liputan meluas media mengenai kes pembunuhan syafiah oleh seorang lelaki yang begitu kejam memperlakukannya tidak ubah seperti haiwan. Begitu kejamnya manusia sehingga sanggup bertindak sedemikian rupa, sedangkan haiwan juga tahu untuk menyayangi sesama mereka. Bagaimanakah semua ini boleh terjadi? Siapa yang harus dipersalahkan? Perkara yang lebih menakutkan adalah apabila setiap hari kita diberitakan dengan bermacam kejadian jenayah kejam yang berlaku di sekeliling kita, sedar atau tidak, hakikatnya dunia sekeliling kita ini telah berubah menjadi semakin tidak berperikemanusiaan hasil daripada perbuatan manusia itu sendiri.

Jika boleh kita rujuk kepada satu masalah sosial yang sedang kita hadapi sekarang, kes pembuangan bayi adalah kes yang paling menduka citakan, dan inilah yang menggambarkan betapa manusia itu zalim walaupun terhadap darah daging mereka sendiri. Bukan sahaja pelaku itu yang zalim tetapi juga masyarakat kita yang memandang sinis terhadap anak tanpa nikah yang dilahirkan ke dunia ini tanpa mereka pinta, mengapakah kita bertindak meletakkan kesalahan yang telah dilakukan oleh ibu bapa kepada mereka sedangkan si anak ini tidak bersalah walau sebesar zarah dalam perkara ini. Perkara yang mungkin dipandang remeh sesetengah pihak ini sebenarnya memberikan kesan besar dalam masalah pembuangan bayi.

Tanpa kita sedari, manusia yang dahulunya penuh dengan sifat prihatin dan bertanggungjawab telah berubah laku menjadi seperti haiwan buas yang kelaparan dan membaham apa jua yang melintas di hadapannya. Tiada apa yang mampu kita lakukan sebenarnya dalam mengatasi masalah-masalah sosial yang ada dalam masyarakat kita sekarang melainkan dengan kita sebagai manusia perlu mengubah sikap untuk menjadi lebih terbuka dan kembali seperti dahulu di mana kita masing-masing tahu menjaga dan menghormati hak sesama manusia.

Bukan itu sahaja, kita juga perlu bijak menangani setiap masalah yang timbul dengan cara yang berhemah. Kita sebagai manusia yang diberikan kelebihan memnpunyai otak jadi kita seharusnya menggunakan kurniaan itu dengan sebaiknya. Jangan mengambil tindakan bodoh dengan mengambil jalan pintas ke neraka dalam menyelesaikan apa jua masalah, berfikirlah secara rasional dan kurangkan pengaruh emosi dalam membuat sesuatu keputusan.

Sekiranya manusia mampu membentuk disiplin dalam diri sendiri, nescaya banyak penyakit sosial yang sedang merebak kini mampu diatasi, tanamkan sifat bertolak ansur, saling memaafkan sesama manusia dan berusahalah meningkatkan jati diri agar menjadi lebih teguh dan sekaligus kita masyarakat manusia mampu membina kehidupan yang aman harmoni.

0 comments: